jilbab bagi wanita

Di sini kita ingin menyentuh tentang pemakaian tudung kaum wanita masa kini sebagai renungan bagi wanita Islam. Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.
Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.
Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai jilbab. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai jilbab. Pemakaian jilbab penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.
Walaupun pelbagai gaya jilbab diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai jilbab, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fashion tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.
Ada rekaan jilbab yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk jilbab. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.
Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan jilbab yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.
Bilamana wanita berjilbab tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun berjilbab, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Berjilbab, tapi masih ingin bergaya.
Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai jilbab?
Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang berjilbab yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang berjilbab termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.
Jadi, nilai jilbab sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang berjilbab pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan berjilbab atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak berjilbab. Lebih baik tidak berjilbab. Mereka rasa lebih bebas lagi.
Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun berjilbab, perangai mereka sama saja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbedaan agama Islam dengan agama mereka.
Lihatlah betapa besarnya peranan jilbab untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.
Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.
Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai jilbab. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. jilbab di luar jilbab di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, ria dan lain-lain penyakit hati.
Walau apapun, kewajipan berjilbab tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun berjilbab, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.
Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan Sentiasa bermanis muka. hindari pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.
Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.
Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.

cinta anak kepada ibu

Kisah Seindah Budi
Kisah Cintanya Seorang Anak Kepada Seorang Ibu
...alam Misykaatul Anwaari menerangkan bahawa Nabi Isa as telah berkata kepada ibunya Maryam: “Sesungguhnya dunia ini adalah kampung yang akan musnah dan sesungguhnya akhirat itu adalah kampung yang kekal, oleh itu marilah ibu bersama saya?”
Setelah Nabi Isa as berkata demikian pada ibunya maka berangkatlah Nabi Isa as bersama dengan ibunya menuju ke Gunung Lebanon, apabila sampai di gunung tersebut maka Nabi Isa as bersama ibunya berpuasa pada siang hari dan mendirikan solat pada malam hari. Makanan mereka terdiri dari pohon kayu dan meminum air hujan.
Setelah sekian lama Nabi Isa as dan ibunya Maryam tinggal di Gunung Lebanon maka suatu hari Nabi Isa as turun dari gunung untuk mencari daun kayu untuk berbuka puasa untuk mereka berdua. Setelah Nabi Isa as turun maka datanglah malaikat maut menghampiri Maryam dengan berkata: “Assalamualaiki ya Maryam, orang yang sangat patuh mengerjakan puasa pada siang hari dan mengerjakan solat pada malam hari.”
Sebaik sahaja Maryam melihat orang yang memberi salam itu maka berkata Maryam: “Siapakah kamu ini? Badan dan seluruh anggotaku menggeletar dan berasa takut pula apabila mendengar suaramu!”
Kemudian Malaikat Maut berkata: “Aku adalah malaikat yang tidak mempunyai belas kasihan kepada sesiapa pun baik dia anak kecil, orang tua, atau sebagainya sebab aku adalah malaikat pencabut nyawa.”
Mendengar akan penjelasan dari Malaikat Maut itu maka Maryam berkata: “Wahai malaikat maut, adakah kedatangan kamu ini untuk menziarah aku atau untuk mencabut nyawa aku?” Lalu berkata Malaikat Maut: “Wahai Maryam, kedatangan aku adalah untuk mencabut rohmu.”
Apabila Maryam mengetahui bahawa Malaikat Maut datang untuk mencabut nyawanya maka berkata Maryam: “Wahai Malaikat Maut, apakah kamu tidak mahu memberikan peluang sehingga anakku pulang, kerana dia yang menjadi buah indah mataku, yang menjadi anak kasih sayangku, yang menjadi buah hatiku, yang menjadi penawar mengubati kerisauan hatiku?”
Malaikat Maut pun menjelaskan perintahnya dengan berkata: “Wahai Maryam, sebenarnya aku tidak diperintahkan menurut kehendak kamu, aku ini hanyalah hamba yang diperintah.
Dan demi Allah aku tidak akan mencabut nyawa walaupun seekor nyamuk kalau aku tidak diperintahkan, sesungguhnya aku telah diperintahkan oleh Allah SWT supaya aku tidak mensia-siakan walau satu saat pun untuk mencabut rohmu di tempat ini.”
Setelah Maryam mendengar penjelasan dari malaikat maut maka dengan hati yang ikhlas Maryam berkata: “Wahai malaikat maut, kamu telah menerima perintah Allah SWT, oleh itu kamu laksanakanlah perintah itu dengan segera”
Malaikat Maut mendekati Maryam dan mencabut rohnya, kebetulan pula di masa itu Nabi Isa as lambat pulang, beliau pulang apabila waktu Isyak yang akhir, setelah Nabi Isa as naik ke atas gunung dengan membawa bekalan untuk berbuka puasa maka beliau melihat ibunya sedang berada di tempat solat, Nabi Isa as menyangka bahawa ibunya sedang sembahyang. Maka beliau pun meletakkan daun-daun yang dibawa untuk berbuka puasa dan meletakkan dekat ibunya lalu beliau berdiri mengadap kiblat.
Setelah sekian lama maka beliau pun memanggil ibunya: “Assalamualaiki ya ibu, waktu malam telah tiba dan orang yang berpuasa telah berbuka dan telah berdiri orang yang beribadah, mengapa ibu tidak beribadah kepada Tuhan yang Maha Pengasih?”
Nabi Isa as menyangka ibunya sedang tidur lalu beliau berkata; “Sesungguhnya dalam tidur itu terdapat kelazatan?” Nabi Isa memandang ke tempat ibunya dan didapatinya ibunya tidak makan apa-apapun walaupun 2/3 malam telah berlalu.
Nabi Isa as memanggil lagi ibunya: “Assalamualaiki yaa ummaahu?” Oleh kerana hari telah menjelang fajar maka ibunya tidak bangun lagi maka beliau pun menghampiri ibunya, lalu beliau meletakkan pipinya pada pipi ibunya dan meletakkan mulutnya pada pipi ibunya dengan menangis yang kuat beliau berkata: “Assalamualaiki yaa Ummaahu,” malam telah berlalu dan fajar telah menjelma, ini adalah masa untuk menunaikan fardhu yang telah diwajibkan oleh Tuhan yang Maha Pengasih.
Setelah Nabi Isa as berkata demikian maka menangislah para malaikat di langit dan para jin yang berada di sekitarnya dan bergoncanglah gunung di bawahnya. Kemudian Allah SWT wahyukan kepada para malaikat yang bermaksud: “Apakah yang menyebabkan kamu semua menangis?”
Maka berkata para malaikat: “Tuhan kami, Engkau Maha Mengetahui.”
Lalu Allah SWT wahyukan lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui dan Aku Maha Kasih Sayang.” Setelah itu dengan tiba-tiba kedengaran satu suara yang berbunyi: “Wahai Isa as angkatlah kepalamu itu, sesungguhnya ibumu itu telah meninggal dunia dan Allah SWT telah melipat gandakan pahalamu.”
Sebaik sahaja Nabi Isa as mendengar suara tersebut maka baginda pun mengangkat kepala sambil menangis lalu berkata: “Siapakah yang akan menjadi temanku di waktu aku sunyi dan di waktu aku menangis, dan dengan siapakah dapat aku ajak berkata-kata, dan siapa pula yang dapat membantu aku dalam ibadahku.”
Kemudian Allah SWT mewahyukan pada gunung yang bermaksud: “Wahai gunung nasihatilah Rohku (Isa as).” Setelah gunung menerima wahyu maka berkatalah gunung: “Wahai Roh Allah (Isa as) apakah erti kesusahanmu itu, ataukah kamu mahu Allah sebagai pendampingmu yang menggembirakan?”
Setelah Nabi Isa as mendengar kata-kata gunung maka turunlah beliau ke sebuah desa tempat tinggal Bani Israil, maka berkata Nabi Isa as: “Assalamualaikum yaa Bani Israil.”
Apabila kaum Bani Israil melihat ada orang memberi salam maka mereka pun berkata: “Siapakah kamu ini wahai hamba Allah? Cantik sekali wajahmu dan telah menyinari rumah-rumah kami.”
Lalu Nabi Isa as berkata: “Aku adalah Isa as, ibuku telah meninggal dunia, oleh itu tolonglah aku untuk memandi, mengafankan dan memakamkan ibuku.”
Maka berkata kaum Bani Israil: “Wahai Isa as, di atas gunung itu terlampau banyak ular yang besar-besar dan bermacam-macam ular yang belum pernah kami lihat dan tidak pernah dilalui oleh para orang tua kami dan nenek moyang kami sejak 300 tahun.”
Setelah Nabi Isa as mendapati bahawa mereka tidak mahu menolongnya maka baginda pun naik semula ke atas gunung, sebaik sahaja baginda naik maka baginda terpandang ada dua pemuda yang sangat cantik rupa parasnya, lalu Nabi Isa as memberi salam dan dibalas salam oleh kedua pemuda itu.
Kemudian Nabi Isa as berkata: “Wahai pemuda, sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia oleh itu aku mohon kepada kamu berdua supaya dapat menolong aku untuk menguruskannya.”
Lalu berkata salah seorang dari pemuda itu: “Aku ini sebenarnya adalah Malaikat Mikail dan sahabat saya yang satu lagi ialah Malaikat Jibril.”
Kemudian Malaikat Mikail mengeluarkan barang-barang yang dibawanya dengan berkata: “Ini adalah ubat tubuh dan kain kafan dari Tuhanmu. Dan para bidadari jelita sekarang sedang turun dari syurga untuk memandi dan mengafankan ibumu.”
Setelah Malaikat Mikail berkata demikian maka Malaikat Jibril pun menggali kubur di atas gunung itu. Setelah selesai segala kerja memandikan mengafan dilakukan oleh para bidadari, dan setelah selesai disolatkan maka mereka bertiga pun mengkebumikan dalam kubur.
Setelah selesai maka Nabi Isa as pun berdoa kepada Allah SWT: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui tempatku dan Engkau mendengar kata-kataku dan tidak sedikitpun urusanku yang bersembunyi bagi Engkau, ibuku telah meninggal dunia sedang aku tidak menyaksikannya di waktu ia wafat. Oleh itu izinkan dia berkata sesuatu kepadaku.”
Kemudian Allah mewahyukan kepada Nabi Isa as yang bermaksud: “Sesungguhnya aku telah memberi izin kepadanya.” Setelah Nabi Isa as menerima wahyu dari Allah SWT maka baginda pun pergi ke kubur ibunya lalu berkata: “Assalamualaiki ya ibu, bagaimanakah dengan tempat pembaringanmu dan tempat kembalimu dan bagaimana pula kedatangan Tuhanmu (Tuhanku).”
Berkata ibunya: “Tempat pembaringanku adalah sebaik-baik tempat pembaringan, dan tempat kembaliku adalah sebaik-baik tempat kembali, sedang aku mengadap kepada Tuhanku, aku tahu bahawa dia telah menerimaku dengan rela.”
Berkata Nabi Isa as: “Wahai ibu bagaimana rasa sakitnya ketika mati?”
Berkata Ibu Nabi Isa as: “Demi Allah yang telah mengutusmu sebagai Nabi dengan sebenar- benarnya, belum hilang rasa pedihnya mati, demikian juga dengan rupa Malaikat Maut belum lagi hilang dari pandangan mataku; alaikas salam wahai kasih sayangku sampai hari kiamat.

taubat sahabat nabi

Abu Sufyan bin Haris
...bdurrahman bin Sabit meriwayatkan, bahawa Sufyan bin Haris adalah saudara sesusuan Rasulullah SAW dari seorang wanita yang sama iaitu Halimah As-Sa’diyah. Di samping itu dia pun sudah sangat biasa bergaul dengan Rasulullah SAW kerana dia memang sebaya dengan baginda.
Ketika baginda diutus oleh Allah SWT sebagai Rasul-Nya, maka Abu Sufyan pun memusuhinya dengan permusuhan yang tidak pernah dilakukan oleh seseorang terhadap diri baginda. Dia menyerang Rasulullah SAW begitu juga dengan sahabat-sahabatnya. Bahkan selama dua puluh tahun dia menjadi musuh Rasulullah SAW saling serang menyerang dengan kaum Muslimin.
Dalam setiap kali peperangan yang dilakukan oleh orang kafir Quraisy dengan kaum Muslimin, Abu Sufyan bin Haris tidak pernah ketinggalan, sehingga akhirnya Allah SWT berkenan memasukkan sinar Islam dalam lubuk hatinya. Abu Sufyan bin Haris berkata: “Siapakah yang akan menjadi temanku, sedangkan kehadiran Islam semakin hari semakin kukuh?” Selepas itu ia menemui isteri dan anak-anaknya, lalu ia berkata: “Wahai isteri dan anak-anakku, bersiap-siaplah untuk keluar, kerana Muhammad tidak lagi akan datang!”
Anak-anak dan isterinya menjawab: “Sepatutnya telah terlalu awal lagi engkau menyedari, bahawa orang-orang Arab bahkan begitu juga orang-orang di luar bangsa Arab telah mengikutinya, sedangkan kamu sendiri masih tetap memusuhinya. Sepatutnya engkaulah orang yang pertama sekali membantunya!”
Kepada pelayannya Abu Sufyan memerintahkan: “Cepat bawa kemari unta dan kuda!”
Setelah unta dan kuda disiapkan, Abu Sufyan bersama dengan isteri dan anak-anaknya pun berangkat, hingga akhirnya mereka sampai di Abwa’, sedangkan pasukan pertama Rasulullah SAW sudah terlebih dahulu sampai di kota itu. Maka Abu Sufyan pun menyamar kerana takut di bunuh oleh pasukan Rasulullah SAW dan hanya berjalan kaki kira-kira satu mil.
Pada waktu itu pasukan Rasulullah SAW sudah mulai datang membanjiri kota Abwa’. Maka Abu Sufyan pun menyingkir kerana merasa takut dengan sahabat-sahabat baginda. Ketika Rasulullah SAW sudah mulai kelihatan yang sedang diiringi oleh para rombongan, Abu Sufyan pun segera berdiri di hadapannya. Ketika baginda melihatnya, ia langsung memalingkan mukanya ke arah lain. Abu Sufyan pun berpindah tempat ke arah baginda memalingkan muka. Namun baginda tetap terus memalingkan mukanya ke arah yang lain pula.
Dalam hati Abu Sufyan berkata: “Sebelum aku sampai kepadanya, mungkin aku akan mati terbunuh, akan tetapi aku ingat akan kebaikan dan kasih sayangnya, justeru itulah rasa harapan masih tetap ada dalam hatiku. Dari semenjak dulu lagi aku berkeyakinan, bahawa Rasulullah berserta para sahabatnya akan sangat bergembira bila aku masuk Islam, kerana adanya tali persaudaraanku dengan baginda.”
Melihat Rasulullah SAW berpaling dari Abu Sufyan, maka kaum Muslimin pun berpaling darinya. Dia melihat putera Abu Quhafah iaitu Abu Bakar Siddik pun berpaling darinya. Abu Sufyan memandang ke arah Umar yang sedang bangkit amarahnya, dalam keadaan marah Umar berkata: “Wahai musuh Allah, kamu adalah orang yang selalu menyakiti Rasulullah SAW dan para sahabatnya! Bahkan permusuhanmu itu terhadap umat Islam telah diketahui orang baik yang berada di belahan dunia Timur mahupun Barat!”
Mendengar ungkapan dari Umar tersebut, maka Abu Sufyan berusaha untuk membela dirinya. Akan tetapi usahanya itu tidak berhasil, kerana Umar meninggikan suaranya dan Abu Sufyan merasakan pada saat itu bahawa dirinya sudah terkepung oleh hutan belukar manusia yang merasa gembira atas apa yang terjadi pada dirinya.
Dalam keadaan demikian Abu Sufyan berkata: “Wahai bapa saudaraku Abbas, dulu aku pernah datang ke rumahmu serta berharap bahawa Rasulullah SAW akan merasa bergembira jika aku masuk Islam, kerana antara diriku dengan dirinya ada pertalian saudara, di samping itu kami keduanya dari kalangan keluarga terhormat. Akan tetapi kenyataan sebagaimana yang engkau saksikan sendiri wahai bapa saudaraku, mereka seakan-akan tidak mahu menerima kehadiranku! Untuk itu aku bermohon kepadamu wahai bapa saudaraku, supaya engkau berkenan mengajak Muhammad berunding mengenai diriku, sehingga ia redha terhadapku!”
Bapa saudaranya menjawab: “Tidak, demi Allah, setelah aku menyaksikan semuanya ini, sepatah katapun aku tidak mahu berunding dengannya, kecuali jika ada alasan yang lebih kuat!”
Abu Sufyan bertanya: “Wahai bapa saudaraku, dengan siapa lagi aku harus mengadu?”
“Pergilah kamu mengadu ke sana,” jawab bapa saudaranya.
Kemudian Abu Sufyan menemui Ali bin Abi Talib serta mengajaknya berbicara. Akan tetapi jawapan yang diberikan oleh Ali sama saja dengan jawapan bapa saudaranya Abbas. Sehingga akhirnya ia terpaksa lagi pergi kepada bapa saudaranya Abbas serta memohon kepadanya: “Aku mohon kepadamu wahai bapa saudaraku, sudilah kiranya engkau mencegah orang-orang mencaci makiku.”
Abbas bertanya: “Siapa sebenarnya orang yang mencaci makimu itu?” Abu Sufyan menjelaskan ciri-ciri orangnya: “Dia adalah orang yang berkulit kuning langsat, tubuhnya agak pendek, gemuk dan di antara kedua matanya terdapat bekas luka.
Abbas menjawab: “Dia adalah Nu’aiman bin Haris An-Najjari.”
Maka Bapa saudaranya Abbas pun menemuinya dan berkata: “Wahai Nu’aiman, Abu Sufyan adalah anak dari bapa saudara Rasulullah SAW dan dia juga anak saudaraku sendiri, walaupun Rasulullah SAW kelihatan tidak menyukainya. Akan tetapi aku yakin, bahawa masih ada harapan baginya untuk mendapatkan keredhaan Rasulullah SAW. Oleh kerana itu aku memohon kepadamu supaya kamu berhenti dari mencaci makinya.
Mendengar ungkapannya dari Abbas itu maka Nu’aiman berkata: “Baiklah, aku tidak akan mengganggunya lagi.”
Pada waktu itu Abu Sufyan sungguh merasa menderita, kerana tidak ada seorangpun yang mahu menegurnya. Walaupun demikian dia tetap berusaha, setiap kali Rasulullah SAW singgah di sebuah rumah, ia tetap berada di depan pintu rumah tersebut. Namun Rasulullah SAW tetap tidak pernah melihatnya dan memalingkan wajah dari dirinya. Walaupun dalam keadaan demikian, dia terus tetap berusaha untuk mendapatkan keredhaan dari Rasulullah SAW, sehingga akhirnya dia menyaksikan sendiri Rasulullah SAW bersama dengan pasukan kaum Muslimin lainnya menaklukkan kota Makkah.
Abu Sufyan tetap terus berada dekat kuda yang ditunggangi oleh Rasulullah SAW sehingga akhirnya baginda singgah di Abtah. Pada saat itu Rasulullah SAW memandang Abu Sufyan dengan pandangan yang agak lembut dari sebelumnya, dan Abu Sufyan mengharapkan mudah-mudahan Rasulullah mahu senyum kepadanya.
Beberapa kaum wanita dari bani Abdul Mutalib datang menemui baginda yang diikuti oleh isteri Abu Sufyan. Setelah itu Rasulullah SAW pergi ke masjid, Abu Sufyan pun tetap setia mengikuti baginda dan tidak sedikitpun ingin berpisah dengannya.
Akhirnya Rasulullah SAW berangkat menuju Hawazin dan Abu Sufyan pun masih tetap mengikutinya. Pada waktu terjadinya peperangan melawan musuh, maka Abu Sufyan pun segera memacu kudanya dengan sebilah pedang yang terhunus, dan ia bertekad, untuk menebus dosa-dosanya selama ini, tidak ada jalan lain kecuali ia harus mati dalam memperjuangkan agama Allah.
Melihat keadaan demikian, kepada Rasulullah, Abbas bapa saudara Abu Sufyan bin Haris berkata: “Wahai Rasulullah, aku bermohon supaya engkau berkenan meredhainya.”
Rasulullah SAW bersabda: “Aku telah meredhainya dan Allah pun telah berkenan mengampunkan segala kesalahannya dan segala bentuk permusuhan yang dilakukannya kepadaku selama ini.”
Mendengar ungkapan Rasulullah demikian, maka Abu Sufyan pun segera mencium kaki Rasulullah yang pada saat itu sedang menunggang kudanya. Maka pada saat itu Rasulullah SAW menoleh ke arah Abu Sufyan dan bersabda: “Engkau adalah benar-benar saudaraku!”
Selepas itu Rasulullah SAW memerintahkan kepada Abbas agar memerintahkan kepada seluruh pasukan perang supaya maju ke medan perang dengan kata-kata: “Majulah kamu dan binasakanlah musuh-musuh itu.”
Kerana telah mendapat perintah dari Rasulullah SAW, maka Abu Sufyan segera melaksanakan tugasnya. Cuma dengan hanya sekali serangan saja, para tentera musuh berlari kucar kacir. Mereka tidak berani membalas serangan tersebut, sehingga akhirnya Abu Sufyan berhasil mengejar mereka dan tentera musuh lari sejauh tiga mil.
Demikianlah Abu Sufyan, semenjak dia masuk ke dalam Islam, ia sentiasa taat beribadah kepada Allah SWT bahkan dalam suatu riwayat pula dikatakan, bahawa Abu Sufyah tidak pernah mengangkat kepalanya apabila ia berada di depan Rasulullah SAW. Begitu juga pada waktu ajal akan menjemputnya ia berpesan: “Jangan engkau menangisi aku, kerana semenjak aku masuk Islam, aku tidak pernah berbuat dosa.”
Setelah Rasulullah SAW meninggal dunia, Abu Sufyan bin Haris selalu menangisi dan meratapinya dengan syairnya:
Aku tidak dapat tidur dan malam pun susah berakhir Malam bagi orang yang ditimpa bencana akan lama rasanya. Tangisanku membuatkan aku bahagia Sesungguhnya musibah yang menimpa kaum Muslimin itu tidaklah seberapa Betapa besar dan beratnya cubaan ini pada waktu mendengar berita bahawa Rasulullah sudah tiada Bumi tempat tinggal kita inipun ikut serta menderita sehingga terasa miring segala sudutnya. Telah terputuslah wahyu Al-Quran dari kita di mana dahulu malaikat Jibril selalu datang membawanya. Dialah Nabi yang telah melenyapkan syak wasangka kita dengan wahyu yang diturunkan kepadanya dan sabdanya Bagindalah yang telah menunjuki kita sehingga kita tidak perlu bimbang dan terpedaya Rasulullah selalu siap memberikan petunjuknya kepada kita Fatimah, jika kamu bersedih meratapinya, hal yang demikian itu dapat kami mengerti. Akan tetapi jika engkau tidak bersedih, itulah jalan yang baik yang telah ditunjukkannya. Makam ayahku adalah makam dari setiap makam kerana di dalamnya bersemayam seorang Rasul tuan bagi seluruh manusia.


Ikrimah Bin Abu Jahal
...bu Ishaw As-Ayabi’i meriwayatkan, ketika Rasulullah SAW berhasil menaklukkan kota Makkah, maka Ikrimah berkata: Aku tidak akan tinggal di tempat ini!” Setelah berkata demikian, dia pun pergi berlayar dan memerintahkan supaya isterinya membantunya. Akan tetapi isterinya berkata: “Hendak kemana kamu wahai pemimpin pemuda Quraisy?” Apakah kamu akan pergi kesuatu tempat yang tidak kamu ketahui?”
Ikrimah pun melangkahkan kakinya tanpa sedikitpun memperhatikan perkataan isterinya.
Ketika Rasulullah SAW bersama para sahabat lainnya telah berhasil menaklukkan kota Makkah, maka kepada Rasulullah isteri Ikrimah berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya Ikrimah telah melarikan diri ke negeri Yaman kerana ia takut kalau-kalau kamu akan membunuhnya. Justeru itu aku memohon kepadamu supaya engkau berkenan menjamin keselamatannya.”
Rasulullah SAW menjawab: “Dia akan berada dalam keadaan aman!” Mendengar jawapan itu, maka isteri Ikrimah memohon diri dan pergi untuk mencari suaminya. Akhirnya dia berhasil menemukannya di tepi pantai yang berada di Tihamah. Ketika Ikrimah menaiki kapal, maka orang yang mengemudikan kapal tersebut berkata kepadanya: “Wahai Ikrimah, ikhlaskanlah saja!”
Ikrimah bertanya: “Apakah yang harus aku ikhlaskan?”
“Ikhlaskanlah bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan akuilah bahawa Muhammad adalah utusan Allah!” Kata pengemudi kapal itu.
Ikrimah menjawab: “Tidak, jesteru aku melarikan diri adalah kerana ucapan itu.”
Selepas itu datanglah isterinya dan berkata: “Wahai Ikrimah putera bapa saudaraku, aku datang menemuimu membawa pesan dari orang yang paling utama, dari manusia yang paling mulia dan manusia yang paling baik. Aku memohon supaya engkau jangan menghancurkan dirimu sendiri. Aku telah memohonkan jaminan keselamatan untukmu kepada Rasulullah SAW.”
Kepada isterinya Ikrimah bertanya: “Benarkah apa yang telah engkau lakukan itu?”
Isterinya menjawab: “Benar, aku telah berbicara dengan baginda dan baginda pun akan memberikan jaminan keselamatan atas dirimu.”
Begitu saja mendengar berita gembira dari isterinya itu, pada malam harinya Ikrimah bermaksud untuk melakukan persetubuhan dengan isterinya, akan tetapi isterinya menolaknya sambil berkata: “Engkau orang kafir, sedangkan aku orang Muslim.”
Kepada isterinya Ikrimah berkata: “Penolakan kamu itu adalah merupakan suatu masalah besar bagi diriku.”
Tidak lama selepas Ikrimah bertemu dengan isterinya itu, mereka pun pulang kembali, setelah mendengar berita bahawa Ikrimah sudah pulang, maka Rasulullah SAW segera ingin menemuinya. Kerana rasa kegembiraan yang tidak terkira, sehingga membuatkan Rasulullah SAW terlupa memakai serbannya.
Setelah bertemu dengan Ikrimah, baginda pun duduk. Ketika itu Ikrimah berserta dengan isterinya berada di hadapan Rasulullah SAW Ikrimah lalu berkata: “Sesungguhnya aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah.”
Mendengar ucapan Ikrimah itu, Rasulullah SAW sangat merasa gembira, selanjutnya Ikrimah kembali berkata: “Wahai Rasulullah, ajarkanlah sesuatu yang baik yang harus aku ucapkan.”
Rasulullah SAW menjawab: “Ucapkanlah bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya. Ikrimah kembali bertanya: “Selepas itu apa lagi?” Rasulullah menjawab: “Ucapkanlah sekali lagi, aku bersaksi bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa sesungguhnya Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Ikrimah pun mengucapkan apa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW selepas itu baginda bersabda: “Jika sekiranya pada hari ini kamu meminta kepadaku sesuatu sebagaimana yang telah aku berikan kepada orang lain, nescaya aku akan mengabulkannya.”
Ikrimah berkata: “Aku memohon kepadamu ya Rasulullah, supaya engkau berkenan memohonkan ampunan untukku kepada Allah atas setiap permusuhan yang pernah aku lakukan terhadap dirimu, setiap perjalanan yang aku lalui untuk menyerangmu, setiap yang aku gunakan untuk melawanmu dan setiap perkataan kotor yang aku katakan di hadapan atau di belakangmu.”
Maka Rasulullah SAW pun berdoa: “Ya Allah, ampunilah dosanya atas setiap permusuhan yang pernah dilakukannya untuk bermusuh denganku, setiap langkah perjalanan yang dilaluinya untuk menyerangku yang tujuannya untuk memadamkan cahaya-Mu dan ampunilah dosanya atas segala sesuatu yang pernah dilakukannya baik secara langsung berhadapan denganku mahupun tidak.”
Mendengar doa yang dipohon oleh Rasulullah SAW itu, alangkah senangnya hati Ikrimah, maka ketika itu juga ia berkata: “Ya Rasulullah! Aku bersumpah demi Allah, aku tidak akan membiarkan satu dinar pun biaya yang pernah aku gunakan untuk melawan agama Allah, melainkan akan aku ganti berlipat ganda demi membela agama-Nya. Begitu juga setiap perjuangan yang dahulu aku lakukan untuk melawan agama Allah, akan aku ganti dengan perjuangan yang berlipat ganda demi membela agama-Nya, aku akan ikut berperang dan berjuang sampai ke titisan darah yang terakhir.”
Demikianlah keadaan Ikrimah, setelah ia memeluk Islam, ia sentiasa ikut dalam peperangan hingga akhirnya ia terbunuh sebagai syahid. Semoga Allah berkenan melimpahkan kurnia dan rahmat-Nya kepada Ikrimah.
Dalam riwayat yang lain pula diceritakan, bahawa ketika terjadinya Perang Yarmuk, Ikrimah juga ikut serta berperang sebagai pasukan perang yang berjalan kaki, pada waktu itu Khalid bin Walid mengatakan: “Jangan kamu lakukan hal itu, kerana bahaya yang akan menimpamu adalah lebih besar!”
Ikrimah menjawab: “Kerana kamu wahai Khalid telah terlebih dahulu ikut berperang bersama Rasalullah SAW, maka biarlah hal ini aku lakukan!”
Ikrimah tetap meneruskan niatnya itu, hingga akhirnya ia gugur di medan perang. Pada waktu Ikrimah gugur, ternyata di tubuhnya terdapat lebih kurang tujuh puluh luka bekas tikaman pedang, tombak dan anak panah. Abdullah bin Mas’ud pula berkata: Di antara orang-orang yang termasuk dalam barisan Perang Yarmuk adalah Haris bin Hisyam, Ikrimah bin Abu Jahal dan Suhail bin Amar. Di saat-saat kematian mereka, ada seorang sahabat yang memberinya air minum, akan tetapi mereka menolaknya. Setiap kali air itu akan diberikan kepada salah seorang dari mereka yang bertiga orang itu, maka masing-masing mereka berkata: “Berikan saja air itu kepada sahabat di sebelahku.” Demikianlah keadaan mereka seterusnya, sehingga akhirnya mereka bertiga menghembuskan nafas yang terakhir dalam keadaan belum sempat meminum air itu.
Dalam riwayat yang lain pula ditambahkan: “Sebenarnya Ikrimah bermaksud untuk meminum air tersebut, akan tetapi pada waktu ia akan meminumnya, ia melihat ke arah Suhail dan Suhail pun melihat ke arahnya pula, maka Ikrimah berkata: “Berikanlah saja air minum ini kepadanya, barangkali ia lebih memerlukannya daripadaku.” Suhail pula melihat kepada Haris, begitu juga Haris melihat kepadanya. Akhirnya Suhail berkata: “Berikanlah air minum ini kepada siapa saja, barangkali sahabat-sahabatku itu lebih memerlukannya daripadaku.” Begitulah keadaan mereka, sehingga air tersebut tidak seorangpun di antara mereka yang dapat meminumnya, sehingga mati syahid semuanya. Semoga Allah melimpahkan kurnia dan rahmat-Nya kepada mereka bertiga. Amin